Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 6 Mei 2025, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memperkukuh usaha pematuhan cukai menerusi pelaksanaan “Op Tuntas” yang berlangsung dari 5 Mei hingga 8 Mei 2025 melibatkan kawasan strategik tertentu di seluruh negara.

Menurut kenyataan rasmi HASiL, operasi ini bertujuan untuk meningkatkan pematuhan cukai secara menyeluruh terhadap individu dan entiti perniagaan yang dikenal pasti gagal mematuhi perundangan cukai.

Operasi ini melibatkan lima Cawangan Khas HASiL, iaitu Cawangan Guaman Lembah Klang (CGLK), Cawangan Pembayar Cukai Asing (CPCA), Cawangan Pembayar Cukai Besar (CPCB), Cawangan Industri Khusus (CIK) dan Cawangan Cukai Multinasional (CCM).

Sebanyak 400 orang pegawai HASiL dan 50 orang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam penyampaian dokumen tindakan mahkamah dan notis tunggakan cukai kepada 1,413 orang pembayar cukai yang gagal melunaskan cukai mereka.

Hasil operasi mendapati sebahagian besar entiti yang gagal membayar cukai dikendalikan oleh warga asing terutamanya dari Bangladesh dan Filipina dalam sektor perdagangan dan perkhidmatan. Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai fail cukai dan tidak mengisytiharkan pendapatan seperti yang diwajibkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Majlis perasmian “OP Tuntas” telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin di Cawangan Guaman Lembah Klang. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen tinggi HASiL dalam memastikan keadilan sistem cukai dan bahawa tiada pihak terkecuali daripada tanggungjawab membayar cukai termasuklah warga asing yang menjalankan aktiviti ekonomi di Malaysia.

HASiL yakin bahawa operasi seperti ini dapat memperkukuh budaya pematuhan cukai dalam kalangan semua pembayar cukai serta mempertingkatkan integriti sistem percukaian negara.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian ini termasuklah Ketua Penolong Pengarah Bahagian E5 Cawangan Khas Bukit Aman PDRM, YBhg. SAC Dato’ Yusni Mohd Jamil bersama-sama dengan Timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL serta pengurusan kanan daripada kedua-dua agensi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi