Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengiktiraf tiga syarikat di bawah Kumpulan Syarikat Perodua atas komitmen mereka terhadap pematuhan tadbir urus cukai secara sukarela menerusi penganugerahan Sijil Penyertaan Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (Tax Corporate Governance, TCG).
Majlis penyerahan sijil tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) HASiL, YBhg. Datuk Hisham Rusli dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Menara HASiL, Cyberjaya.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh HASiL, Program TCG merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh pematuhan cukai secara sukarela melalui pendekatan kolaboratif antara agensi percukaian dan pembayar cukai. Program ini menekankan aspek tadbir urus yang sistematik, pengurusan risiko percukaian yang berkesan serta kepatuhan terhadap peruntukan undang-undang percukaian.
“Pengiktirafan ini diberikan kepada syarikat yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam mengurus tadbir urus percukaian secara beretika, selain menyumbang secara signifikan kepada hasil negara melalui pembayaran cukai,” jelas kenyataan itu lagi.
Tiga syarikat di bawah Kumpulan Perodua yang menerima sijil penyertaan ialah Perodua Sales Sdn. Bhd., Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd.
Program TCG yang kini memasuki fasa kedua turut diselaraskan dengan inisiatif cooperative compliance yang bertujuan untuk membina budaya pematuhan cukai secara sukarela melalui hubungan profesional yang saling mempercayai antara HASiL dan pembayar cukai korporat.
Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Syarikat Perodua, wakil ejen percukaian serta barisan pengurusan kanan HASiL dan Kumpulan Syarikat Perodua.