Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 30 April 2025, 18:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Wilayah Tashkent di Uzbekistan telah memilih Perlis sebagai rakan kolaborasi utamanya di Malaysia dengan tumpuan awal diberikan kepada bidang pemprosesan dan pembungkusan buah-buahan serta pelancongan dua hala, khususnya dalam segmen pelancongan Islam.

Dalam sektor pendidikan tinggi, kerjasama turut dimeterai antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dan lapan buah universiti di Uzbekistan.

Tuanku Raja Perlis berkenan menerima sembah mengadap Gebenor Wilayah Tashkent, Uzbekistan, Mirzaev Zoir Toirovich di Istana Arau. Perlis dipilih sebagai rakan kolaborasi utama dalam bidang pelancongan Islam, pertanian dan pendidikan tinggi.

Perkara tersebut dipersembahkan oleh Gebenor Wilayah Tashkent, Mirzaev Zoir Toirovich kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam satu majlis sembah mengadap di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, baru-baru ini.

Tuanku Raja Perlis bertitah bahawa Perlis menyambut baik usaha kolaborasi ini dan komited untuk mempermudah sebarang urusan yang dapat memberikan manfaat bersama.

Jalinan strategik Perlis–Tashkent dimeterai dengan semangat kerjasama dua hala melibatkan sektor pelaburan, pembungkusan buah-buahan serta kerjasama akademik antara UniMAP dengan UniSIRAJ dan lapan buah universiti di Uzbekistan.

Inisiatif ini adalah susulan lawatan rasmi Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia pada Februari lalu yang turut melibatkan perbincangan kerjasama antara wilayah kedua-dua negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berangkat ke majlis tersebut. Delegasi Uzbekistan diwakili oleh Duta Besar negara Uzbekistan ke Malaysia, TYT Karomiddin Gadoev; Ketua Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Wilayah Tashkent, Aripov Tokhir; Ketua Jabatan Pelaburan, Industri dan Perdagangan Wilayah Tashkent; Sharipov Najmiddinkhuja serta Ketua Dewan Perdagangan dan Industri Wilayah Tashkent, Abdukhalilov Abdurasul.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, YAB Mohd Shukri Ramli serta Mufti Perlis, YBhg. Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Delegasi Uzbekistan diwakili antaranya oleh Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, TYT Karomiddin Gadoev dan beberapa pegawai kanan wilayah Tashkent.
Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi